kebahagiaan anak sulung


Sebenarnya kita bertuah.
Bertuah kerana Allah telah memilih kita bersama-sama mengharungi hidup ‘susah’ dahulu dengan ibubapa kita. Mungkin waktu itu adik-adik kita masih kecil dan tidak tahu apa-apa. Mereka terlepas saat-saat sukar yang mengikat hati, menambah sayang kita pada ibubapa kita. Kita menyaksikan ‘kesusahan’ mereka di depan mata kita, membuatkan kita nekad untuk memberi yang terbaik dalam hidup kita untuk mereka. Adik-adik merasai kemewahan hari ini tanpa melalui ‘kesusahan’ dahulu, itu rezeki mereka. Percayalah, rezeki kita tetap ada. Allah kan Maha Adil?
Bertuah lagi sebab kita tidak menyusahkan ibubapa kita dengan meminta itu dan ini. Tidak memberatkan mereka dengan permintaan kita, walaupun ibubapa kita mampu. Kita anak-anak sulung yang baik, meringankan ibubapa kita. Nak meminta-minta tak sampai hati, kan? Mereka pun tak pening kepala nak penuhi permintaan kita. Bertuah kan kita?
Ada lagi bertuah? Bertuah lagi sebab ibubapa kita sebenarnya menganggap kita sudah pandai berdikari dan boleh menguruskan diri. Anak sulung hatinya kuat. Apa sahaja boleh dibuat. Sayang adik-adik, selalu mengalah. Sayang ibubapa, selalu menolong apa sahaja, sebab kita besar daripada adik-adik. Sebab itu ibubapa kita kurang memberi-beri pada kita, baik pada kasih sayang, mahupun material. Kita kan anak sulung yang hebat??
Buat anak-anak sulung yang memang Allah kasihi,
Sesungguhnya setiap manusia diuji dengan ujian yang berbeza. Bukan kita sahaja yang diuji sebegini, ramai lagi yang lebih hebat ujiannya. Ada mereka yang tidak pernah merasa kasih sayang ibubapa sejak lahir lagi. Cukuplah ibubapa kita telah berjaya membesarkan kita, merasa kasih sayang mereka sejak kita kecil. Ibubapa kita juga manusia, tidak terlepas daripada membuat kesilapan. Mana ada ibubapa yang bencikan anak, cuma kadang-kadang mereka terlepas pandang anak sulung mereka ini, atau mereka sedang berkecil hati dengan kita. Maafkanlah mereka, bersangka baik dan jangan berhenti membuat kebaikan kepada mereka. Jangan sesekali menghitung kebaikan kita kepada mereka. Jadilah anak sulung yang cekal, baikhati dan sentiasa berserah segalanya pada Allah. “Sayang ibu berkorban nyawa, sayang ayah berkorban jiwa”. Terus kuat ya anak-anak sulung!
  [sumber]

No comments :